Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger

Saturday, October 10, 2009

RASUAH : PELAJAR DAN MAHASISWA PERLU DIDIDIK TENTANG BAHAYA RASUAH KEPADA BANGSA,MASYARAKAT ,AGAMA & NEGARA.



Pada hari Jumaat yang lalu saya mengambil keputusan untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahman,Universiti Malaya setelah beberapa minggu sebelum ini saya bersolat di Masjid Akademi Pengajian Islam ,UM.Kehadiran saya ke masjid yang penuh dengan sejarah itu agak awal untuk mendengar tazkirah sebelum Jumaat oleh Ustaz Zamihan dari JAKIM.Apa yang menarik tajuk khutbah Jumaat pada hari tersebut berbunyi “Pengamal Rasuah Pengkhianat Negara”.Tajuk ini membuatkan sidang jemaah pada hari itu tidak berkelip mata.Satu persatu dibongkarkan.Mungkin ada yang termakan cili dan terkena kepada batang hidung.

Namun di sebalik khutbah yang banyak menceritakan pembabitan mereka yang berkuasa dan bekerjaya,suka juga saya mengaitkan isu ini dengan mahasiswa.Bagi saya semua pihak boleh terlibat dengan rasuah hatta pelajar sekolah sekalipun cuma mereka sedar atau tidak sahaja.Rasuah ini boleh wujud dengan berbagai nama dan jenama.Kadang-kadang atas nama hadiah dan imbuhan.Pelajar dan mahasiswa telah dididik untuk menerima sesuatu tanpa sebarang alasan asalkan menguntungkan.Bagi mereka yang terlibat dengan kelab-kelab dan persatuan haruslah berhati-hati dan janganlah terikut-ikut dengan budaya luar.Justeru pelajar dan mahasiswa hari ini perlu dididik tentang bahaya rasuah kepada bangsa,masyarakat,agama dan Negara.

Kandungan Teks Khutbah Jumaat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM)

" PENGAMAL RASUAH PENGKHIANAT NEGARA"
(02 OKTOBER 2009M / 13 SYAWAL 1430H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya mengingatkan diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping berusaha mencari kehidupan yang diberkati dan diredhai serta hidup kita dengan berbekalkan sumber rezeki halal. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang beruntung di dunia dan akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan memperkatakan khutbah mengenai tajuk: "Pengamal Rasuah Pengkhianat Negara”.


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Rasuah adalah perbuatan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat. Berdasarkan laporan dalam media cetak dan elektronik di dapati pada kebiasaannya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam meliputi perbuatan meminta, menawar, menerima suapan atau tuntutan palsu atau menyalahguna j
awatan untuk kepentingan diri, keluarga dan puak tertentu.



Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang Qat’ie iaitu al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Dalam al-Quran terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Manakala sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tabrani:
Mafhumnya: “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”.


Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2008, sebanyak 605 tangkapan telah dibuat. Apa yang menakutkan dan membimbangkan kita ialah mereka yang melakukan rasuah atau bersyubahat adalah dianggap sebagai perompak harta rakyat. Berdasarkan pemerhatian mimbar, besar pangkat seseorang maka besarlah peluang untuk merompak harta rakyat dan semakin pintar pula untuk melepaskan diri dari disabitkan dengan jenayah rasuah. Jika keadaan amalan jenayah rasuah ini terus meningkat, maka amat dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara.

Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan najis rasuah berlaku?. Berdasarkan pemerhatian, punca-punca menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja.

Sama ada disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti pembahagian kekayaan negara tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasa kezaliman dalam masyarakat. Dengan demikian golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan yang berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat seperti para petani, nelayan, penoreh getah, penarik beca dan kumpulan dhaif yang lain yang tidak terlibat secara langsung dengan pengurusan harta negara.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Rasuah adalah perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan doa kita. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan rasuah ibadah dan doa kita menjadi sia-sia, justeru akan menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah SWT. Lebih membimbangkan lagi jika kita tidak segera membanteras penyakit rasuah boleh menyebabkan kita terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan, akibat kemurkaan Allah seperti firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 112:

Maksudnya: “Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia.
Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,


Pengamal, penyalahguna dan mereka yang bersyubahat dengan rasuah adalah pengkhianat negara. Apa yang nyata, kadar celik huruf dan celik akal di kalangan rakyat negara ini semakin tinggi tetapi mereka yang terlibat gagal membuat penilaian dengan waras tentang isu-isu rasuah di negara ini. Oleh itu, mimbar pada kali ini menyeru semua pihak sama-sama berusaha untuk memerangi jenayah rasuah dalam negara kita secara serius demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahu pun swasta. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian dalam perkhidmatan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, maka mimbar ingin mengingatkan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang kerana:

Pertama : Menjamin kesinambungan nasab atau keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti;

Kedua : Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warga pengurusan;

Ketiga : Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi rasuah; dan

Keempat : Membuktikan bahawa amalan ibadah-ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan najis rasuah.

Marilah sama-sama kita meningkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab menghapuskan rasuah. Semoga dengan itu, iman kita terus bertambah dan dapat memakmurkan bumi Allah dengan benih-benih kebaikan, serta menjadi golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti firman Allah dalam surah Ali Imran:

Maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.”(surah Ali Imran: 104).






















0 comments:

Post a Comment